Assalamualaikum dan Selamat
Sejahtera Semuanya…..
Sungguh, aku tidak tahu kepada
siapa warkah ini perlu ditujukan. Anggaplah warkah ini hanya suatu perkongsian
dan teladan. Anggaplah warkah ini suatu medan untuk aku hamburkan segala rasa
yang aku ada, moga-moga terlepas sedikit rasa yang tiada rasa ini.
Ramadhan yang sedang berada ini
aku hayati dan lalui dengan tenang. Rasa tenang yang pada akalnya kosong. Rasa
tenang yang pada hatinya lapang. Alhamdulillah!. Semakin perginya usia remaja semakin tenang
dan semakin bersahaja rasanya diri ini. Segala yang dilihat dan terlihat,
segala yang didengar dan terdengar dan segala yang dialami dan teralami seakan
sebati dicerna oleh fikiran positif.
How could I be very positive to almost
everything?. Aku tidak tahu dan barangkali rasa tidak mahu dan tidak suka berfikir
kepada kenegatifan, buruk sangka dan serkap jarang membuatkan diri aku
seringkali mematikan sesuatu itu dengan berdiam seribu bahasa. Sekarang ini
bukan lagi masa yang sesuai untuk bertaki atas perkara-perkara picisan dan
remeh. Tanggungjawab yang bergalas masih dan sentiasa perlu diberikan
perhatian. Aku mahukan fokus dan tidak pula mahu menafikan masa yang ada ini
juga adalah masa untuk merawat diri daripada kesibukkan dunia.
Sungguh, aku juga manusia,
justeru aku perlu berasa letih, aku perlu berasa bosan, aku perlu berasa malas
tetapi aku selalu menghancurkan rasa-rasa itu supaya diri tidak terpengaruh sehingga
aku berada dalam keadaan sedih, tidak bermotivasi dan sebagainya. Hakikatnya,
perkara sebeginilah sukar sekali berlaku ke atas aku. Biarlah tidur tidak cukup
asal kerja-kerjanya siap. Biarlah pulang lewat daripada pejabat asal
kerja-kerja beres. Biarlah tiada hujung minggu yang sempurna asal urusan
mencari rezeki teratur.
Jauh disudut hati aku mahukan
kehidupan yang bersahaja. Seperti tidak banyak urusan kerja yang perlu aku
fikirkan. Seperti tidak perlu aku ke laut untuk menjaga urusan kerja apatah
lagi berhadapan dengan manusia yang punyai pelbagai karenah dan kehendak.
Setiap kali ada ruang ‘seperti’ itu, setiap kali itu juga fikiran aku dimatikan
dengan istighfar dan rasa insaf. Jauh di sudut hati ini, aku sentiasa percaya
betapa diluar sana, ramai lagi manusia yang sedang mengalami pelbagai masalah
dunia. Aku bersyukur, ketika ini aku masih berasa lapang dan bahagia. Bahagia
dengan apa yang telah Allah anugerahkan dan berikan, baik anugerah kesihatan
tubuh badan, rezeki, kemudahan urusan kerja dan rasa sabar yang tinggi untuk meneruskan
hari-hari mendatang yang tiada di antara kita mengetahuinya.
Begitupun aku masih manusia.
Terkadang diri rasa begitu kosong dan sunyi, maka aku penuhi dengan kenangan
dan pengalaman lalu. Kenangan dan pengalaman yang membawa kita bertingkah dan
menjadi diri seperti hari ini. Ya, kita hari ini tercipta dan dicipta daripada
sejarah lalu. Jangan mudah berpegang kepada apa yang telah berlaku kerana
selagi kita boleh berfikir secara waras dan matang, selagi itu kita boleh
memperbetulkan setiap kesilapan yang sedang kita lakukan. Pokoknya, adakah kita
mahu ataupun tidak mahu. Tepuk dada tanyalah iman.
Awal pagi ini 17 Ramadhan, mata
seakan tidak mahu tidur kerana warkah ini perlu aku sempurnakan. Sementara
menunggu untuk ke laut, aku biarkan apa yang terfikir menjadi nukilan. Doaku
biarlah rasa tenang ini berpanjangan. Ya Allah, aku bersyukur atas nikmat kasih
sayang yang telah Engkau anugerahkan kepada mereka yang berhak. Ya, kita semua
berhak untuk dikasihi dan menyayangi. Semoga kita semua sedang menyangai mereka
yang benar dan berhak. InsyaAllah.
Sungguh, aku tidak mahu warkah
ini menjadi suatu fitnah. Begitupun aku tetap aku, hanya manusia biasa dan
hamba Allah yang beradanya hanya sementara di muka bumi ini. Begitu juga
semuanya. Ada perkara yang aku lakukan tidak terlihat dan terpandang oleh
manusia namun adakah ianya tidak terlihat oleh Allah sama ada yang baik mahupun
yang tidak baik. Kata-kata aku bukan untuk mempamerkan diri ini baik dan
sebagainya malah kata-kata ini adalah cermin yang memberikan pandangan sebenar
tentang diri. Aku percaya, semakin kita berniat untuk menunjukkan kesempurnaan,
semakin banyak cacat cela yang kita serlahkan. Justeru, perbuatan itu perlu
mengatasi niat.
Aku akhiri warkah ini dengan
harapan semoga perjalanan kehidupan aku, ibu bapaku , adik beradikku, saudara
maraku, guru-guruku, sahabat handaiku dan semua di antara kita berakhir dengan
suatu kesudahan yang baik dan diterima Allah.
Buat dia yang diwujudkan kerana
Syawal, insyaAllah kasih sayang ini masih sempurna!. Amin…..
Sekian, semoga berjumpa lagi. Selamat meneruskan ibadat puasa di bulan Ramadhan dan.....
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Maaf Zahir & Batin
3 comments:
Moga Allah rahmatimu,berkati hidup mu, permudahkan tiap urusan mu. Dan mg pengakhiran yg baik buat kita semua inshaAllah. jaga diri abg..
aminnn...
semoga kita semua berjaya mengharungi lautan yang bergelora dengan tenang setenang kolah wudhuk di masjid-masjid.
(walaupun gelora lautan itu kamu lebih mengetahuinya... aku tidak)
Moga kita semua dalam redha ALLAH atas perkara2 yg kita lakukan..Jalan liku yang berbeza namun atas paksi yang sama menuju redha ALLAH..INSYALLAH..Apa yang penting ALLAH masih berikan kekuatan pada diri agar terus tabah dan sabar dalam tindakan..
Post a Comment